Thursday, April 22, 2010

ARTICLES DIDALAM MAJALAH SUKSES KELUARAN APRIL 2010

Dahulu setiausaha, kini berjaya usahakan biskut dan kek
1.JPG


Teks NAIZATUL KHAIRIAH AHMAD

KALAU sudah minat, onak dan duri dunia keusahawanan sanggup diredahi. Walaupun telah memiliki kerjaya yang kukuh dengan pendapatan empat angka sebulan, minat yang mendalam dalam pembuatan biskut dan kek mendorong Rozita Abd Kader berhenti kerja di sebuah syarikat swasta. Pada setiap hujung minggu dia akan menghadiri kursus membuat biskut anjuran seorang chef ternama dalam bidang yang diminatinya itu.

Ketika masih bekerja selama empat tahun, jelas Rozita, dia telah menghasilkan biskut secara sambilan dan menjualnya di beberapa buah tempat melalui rakan-rakan dengan resepi yang dicipta sendiri dan ciptaan kawan-kawan. Antaranya ialah biskut tat nenas, cookies dan kuih tradisional.

Menyedari dengan berniaga boleh hidup senang, Rozita mengambil keputusan berhenti kerja notis 24 jam. Sementelah majikannya memberi kelonggaran sama ada mahu bekerja atau berniaga. Namun, menjadi cabaran baginya kerana ketika itu bulan Ramadan menjelang tiba. Dengan modal yang dipinjam oleh suaminya dari koperasi, Rozita membeli barangan keperluan secara kredit.

Selain membuat biskut dan kuih, Rozita juga belajar membuat kek kerana ada antara pelanggan yang datang 2.JPGmembuat tempahan seperti kek kahwin dan kek hari jadi.

“Suami saya kuat memberi dorongan. Katanya, dia boleh mendapatkan modal dengan meminjam untuk membeli barangan keperluan. Yang penting, katanya saya mesti bersungguh-sungguh. Suami saya memang banyak membantu,” ujarnya kepada SUKSES.

“Saya belajar dari rumah ke rumah atas ajakan rakan-rakan. Ketika itu, bayaran untuk sejenis biskut ialah RM25. Kalau empat jenis, bayar RM100. Tidak ramai tenaga pengajar. Tetapi, orang yang mengajar kami sudah terkenal dalam bidang masakan,” jelas Rozita, menghimbau masa lalu.

“Setelah menjadi suri rumah dan bertemu semula dengan rakan-rakan lama, mereka mengsyorkan agar saya mengajar pula. Mereka tahu saya berniaga kecil-kecilan melalui internet kawan. Para pelajar saya sibuk. Jadi, mereka menjual kuih saya di pejabat-pejabat kerana tidak ada bazar,” tambahnya.

3.JPG

Jelas Rozita, dia mula mengajar di rumah. Tetapi, tidak mengajar membuat kuih pada hari bekerja. Dia memperoleh RM24,000 dengan mengajar. Setelah mempunyai bengkel, katanya, dia mahu mengajar mereka yang kurang mampu.

“Tetapi, tidak ada yang datang. Saya terpaksa mencari sendiri. Seorang rakan memperkenalkan saya dengan NGO. Dia bertanya adakah saya boleh menderma. Saya kata tidak mampu daripada segi RM. Saya hanya boleh memberi mereka makan produk saya sahaja,” cerita Rozita yang menganggap itu sebagai cabaran biasa dalam perniagaan.

“Ketika kekurangan tenaga kerja dahulu, ada pelanggan yang marah kerana tempahan lambat siap. Tetapi, pada tahun ini, Alhamdulillah, tiada masalah,” tambah Rozita yang menggaji enam orang pekerja sebagai pembantu.

Mengenai detik mula pemasaran kuih dan biskutnya dalam internet, Rozita menjelaskan ada sebuah syarikat laman web menawarkan programmer untuk membantunya sehingga berjaya. Kedaibuku.com yang dimilikinya itu adalah hasil bantuan programmer tersebut.

“Sekarang kebanyakan pelanggan saya adalah menerusi internet. Melalui agen berdaftar seramai 70 orang di seluruh Malaysia, saya mendapat RM240,000 untuk tempahan Eidulfitri tahun 2009 yang lalu,” cerita Rozita lagi.

Menurutnya, setiap agen berdaftar perlu membeli sample kit yang dijual dengan harga RM150. Apabila mendaftar sebagai agen, mereka boleh membeli sample kit dengan harga lebih murah.

6.JPG“Untuk biskut yang berharga RM17, setiap agen menjualnya dengan harga RM22. Jadi, mereka untung RM5. Sample kit itu mengandungi 40 keping biskut. Kalau 15 jenis biskut, saya beri 15. Begitulah kalau 14 jenis. Mereka beri kepada pelanggan mereka. Biasanya mereka ambil dua set. Kalau banyak permintaan, mereka mengambil satu sample kit lagi,” tambah Rozita.

Sejak memasarkan biskut di internet, pelanggannya bertambah. Ada yang menjemputnya mengajar di Bukit Mertajam, Kuantan, Johor Bahru dan Singapura. Sambutan yang diterima sungguh menggalakkan.

“Di Kedah, misalnya, terlalu ramai yang datang. Saya terpaksa adakan dua buah kelas. Kali pertama dihadiri 50 orang dan kali kedua, lebih 60 orang,” ceritanya yang berhasrat mempunyai jurucakap agar mengetahui pasaran luar negara. Sekarang dia belum berani pergi ke peringkat global. Baginya, biarlah sedikit asalkan menikmati kesenangan.

“Pada masa akan datang, saya mahu membuka francais biskut menggunakan jenama sendiri. Saya dapatkan barang-barang dari luar negara, kemudian pasarkan melalui laman web. Saya mahu lihat hasilnya,” ujar Rozita.

Menurutnya lagi, dia mengajar mereka yang berminat membuat biskut. Perkara yang berkaitan makanan tidak boleh dipandang remeh. Pelanggan akan datang lagi kalau membuat biskut mengikut caranya yang betul.

“Saya menggunakan tepung murah. Tetapi, lihat jenis biskutnya. Biskut cookies mempunyai keistimewaannya yang tersendiri. Adunannya banyak menggunakan coklat. Kalau kita menggunakan mentega sepenuhnya, biskut mudah hancur. Kalau biskut lembut, ia tidak boleh pergi jauh kerana mudah hancur. Saya sangat prihatin dengan perkara sebegini kerana para pekerja saya yang buat. Yang penting ialah kepuasan pelanggan,” tegasnya.

“Saya memberi sepenuh tumpuan ketika mengajar. Ada pelajar saya membuka kedai kek kerana saya banyak mengajar membuat roti,” tambah Rozita yang membuat kuih di rumah secara senyap-senyap.

“Kalau tidak, penduduk sekitar akan mengadu pekerja-pekerja saya bising waktu tengah malam. Saya tidak benarkan sesiapa pun datang kecuali kanak-kanak tadika yang mahu melihat cara saya membuat kuih. Rumah saya telah menjadi seperti gudang. Tiada setor untuk menyimpan barang-barang,” jelasnya lagi.

Tambahnya, dia membuat sample sebelum bulan Ramadan. Agak ramai pelawat datang termasuklah kakitangan pihak berkuasa tempatan dengan sebuah bas untuk melihat cara saya membuat biskut,” katanya yang terkenal dengan tat blueberry dan biskut cookies.

5.JPG

No comments: