Wednesday, May 19, 2010

ITAS DELIGHT DI BERITA HARIAN 20 MAY 2010

Ini lah Articles ITAS DELIGHT yang keluar di Berita Harian pada 20 May 2010


Berniaga selepas kena tegur
Oleh Shaidah Shafie
shasha@bharian.com.my
2010/05/20

Keputusan berhenti kerja secara mengejut jadi pendorong buka perniagaan sendiri

BERNIAGA mungkin bukan menjadi pilihan kepada ramai individu kerana bidang ini mempunyai banyak cabaran seperti persediaan modal dan kemahiran selain menuntut kesungguhan kerana jika tersilap langkah, perniagaan lingkup serta modal yang dilaburkan juga entah ke mana.

Begitupun, keyakinan mengenai sembilan daripada 10 rezeki kita adalah datang daripada bidang perniagaan tentunya menjadi pegangan kepada mereka yang bercita-cita memiliki perniagaan sendiri suatu hari kelak.


Berbeza dengan Rozita Abdul Kader yang kini berjaya dalam bidang perniagaan yang diceburi, beliau akui sama sekali tidak pernah terfikir perniagaan yang diusahakan rupa-rupanya adalah sebaik-baik rezeki yang diperoleh hari ini.
Bekerja sebagai setiausaha di sebuah syarikat di ibu kota kira-kira 10 tahun lalu, beliau mempunyai minat membuat biskut dan sering menjual biskut yang dihasilkan kepada rakan sepejabat selain mereka yang mengetahui keenakan biskut beliau itu.

Namun, teguran seseorang di tempat kerja membuatkan beliau terfikir meneruskan hobi berkenaan sepenuh masa dan tidak teragak-agak melepaskan jawatan yang sudah disandang sejak beberapa lama.

“Saya ditegur pihak pentadbiran di pejabat kerana ada rakan yang datang mengambil biskut tempahan ketika waktu saya bekerja. Memang saya agak terkilan kerana saya mencari rezeki halal.

“Bagaimanapun, apabila difikirkan balik saya tidak sepatutnya menggunakan waktu bekerja untuk melakukan urusan peribadi menjual biskut kepada rakan. Pihak pentadbiran syarikat tidak bersalah, tetapi saya yang perlu membetulkan keadaan,” katanya ketika ditemui di premis membuat biskut miliknya di Klang.
Tanpa berfikir panjang, Rozita membuat keputusan dalam tempoh singkat untuk berhenti kerja kerana mengetahui minatnya lebih terarah kepada memasak terutama menghasilkan biskut dan beberapa menu lain.

Keputusan berkenaan sedikit sebanyak mengejutkan ahli keluarga, tetapi beliau mengambil pendekatan duduk dan bertenang serta pada masa sama memikirkan tindakan selanjutnya kerana beliau perlu bekerja bagi menampung pendapatan suami menguruskan keperluan keluarga.

“Saya tidak menyesal dan berterima kasih kepada syarikat tempat saya bekerja sebelum melepaskan jawatan kerana menyedarkan saya mengenai tanggungjawab di tempat kerja ketika itu.

“Daripada teguran itulah saya mendapat kekuatan sebenarnya untuk melakukan sesuatu yang benar-benar menggembirakan saya. Dengan modal yang sedikit dan kata-kata dorongan daripada suami serta keluarga, saya mula merencana bentuk perniagaan biskut yang saya inginkan,” katanya.

Menyedari biskut yang dihasilkan mendapat sambutan ramai dan berjaya mencuri perhatian penggemar biskut mahupun pengusaha hamper, Rozita memulakan langkah pertama menghasilkan biskut yang berbeza dengan biskut yang sudah ada di pasaran.

Antara biskut Rozita yang mendapat sambutan adalah tart beri biru, mocca swirl, chocholate crunchy, rolled oat crunch, peppermint chocholate, stawberry finger, cashiew nut sprinkle, chocholate rice swirl dan suji almond bar serta banyak lagi.

“Saya memastikan biskut yang dihasilkan tidak sama dengan biskut yang sudah ada di pasaran. Kreativiti yang tinggi diperlukan bagi menarik perhatian penggemar biskut. Tart nanas boleh dihasilkan oleh semua orang, tetapi saya memastikan tart buatan saya berbeza dengan yang lain.

“Bahkan, bahan yang digunakan juga adalah yang bermutu kerana saya mahu biskut yang dihasilkan tahan lama serta memuaskan hati pelanggan. Kalau mereka membeli dengan harapan biskut yang ingin dimakan enak, saya juga ingin mendapatkan hasil yang begitu bagi memberi kepuasan kepada mereka,” katanya.

Lebih mengujakan, Rozita bukan saja mengusahakan biskut di bengkel membakarnya, tetapi turut menganjurkan kelas menghasilkan biskut dan pelbagai menu lain. Walaupun tidak kering tangan menerima tempahan, beliau sudah memiliki buku masakan sendiri iaitu Festival Cookies: Biskut Raya, Rahsia Resipi Biskut Kak Ita, Kreativiti Biskut dan Kuih Tradisional Rasa Baru.

“Saya turut diundang memberi panduan memasak kepada suri rumah mahupun pertubuhan wanita atau orang perseorangan. Sepanjang Mei ini ada beberapa sesi kelas masakan diadakan di bengkel saya di Klang.

“Sekiranya ada yang berminat menyertainya, boleh layari laman web saya untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenainya kerana ia diadakan banyak sesi. Mungkin anda boleh memilih masa yang sesuai dengan kelapangan untuk menyertainya,” katanya.

INFO: Rozita Abdul Kadir
  • Kerjaya: Pengusaha biskut dan aneka juadah Melayu
  • Alamat: Ita Deligh, Jalan Sungai Bertik, Klang
  • Laman web: www.ita-delight.com

No comments: